ßÍšŋęş Õńļĭńê Ěâŝŷ ©










HI

Jumaat, 25 Jun 2010

keputusan piala dunia hehe klik le



Portugal iringi Brazil




Durban – Portugal menduduki tangga kedua Kumpulan G untuk mengiringi Brazil pada pusingan kedua Piala Dunia 2010 setelah berjaya mengikat juara lima kali itu 0-0 yang turun tanpa tiga tonggak utama di Stadium Moses Mabhida, semalam.

Tanpa tiga tonggak utama – Robinho (direhatkan), Elano (cedera) dan Kaka (penggantungan kad merah) – serangan-serangan Brazil tampak kurang berbisa meskipun mengawal permainan.

Ketumpulan itu bagaimanapun tidak bermakna Portugal tidak perlu bekerja keras dan ia diakui jurulatihnya, Carlos Queiroz yang memuji disiplin ditunjukkan pemainnya untuk mengikat Brazil.

“Ia adalah perlawanan yang sukar. Mereka bermula dengan gagah sehingga kami terpaksa mengeluarkan segala-galanya. Namun, saya fikir kami menamatkan perlawanan dengan baik.

“Anak buah saya menunjukkan sikap yang cukup baik. Mereka amat bagus memainkan peranan masing-masing dan cara bagaimana mereka melawan.

“Kami sampai ke pusingan seterusnya berdasarkan merit. Kini kami perlu memikirkan bentuk perlawanan seterusnya yang memberi ganjaran kepada pemenang dan membawa kekecewaan kepada yang kalah,” katanya.

Babak pertama perlawanan menyaksikan Brazil lebih menguasai bola dengan mengamalkan pendekatan menyerang sementara Portugal lebih banyak mengharapkan serangan balas.

Minit ke-30, Nilmar hampir menceriakan kem Brazil apabila berjaya menewaskan penjaga gol Portugal, Eduardo menerusi tolakan cantik. Namun, bola sekadar singah di palang sebelum diselamatkan oleh pertahanan Portugal.

Kegarangan Brazil berterusan selepas itu menerusi tandukan Luis Fabiano dari jarak dekat setelah menerima hantaran lambung dari pertahanan kental, Maicon. Sayangnya ia hanya tersasar beberapa inci di sebelah kanan tiang gol lawan untuk gol pembukaan perlawanan.

Babak kedua perlawanan, Portugal seakan mula bangun dari lena menerusi gerakan menarik yang diatur.

Bintangnya, Cristiano Ronaldo beberapa kali membuat larian cantik melepasi pertahanan Brazil namun semuanya tidak mendatangkan hasil termasuk sepakan percumanya yang menepati sasaran sebelum tertampan rakan sepasukan, Pepe lalu meliar pada minit ke-52.

Tonggak pertahanan yang juga kapten Brazil, Lucio nyata tertekan dengan gerakan-gerakan diatur Ronaldo.

Kesilapannya ketika mengawal pemain lincah itu hampir membawa padah pada minit ke-59 apabila tertolak bola dalam kawalan Ronaldo kepada pemain tengah lawan, Raul Meireles. Mujur penjaga gol, Julio Cesar bertindak pantas menutup ruang bagi mengelak gawang Brazil bergegar.

Pada waktu kecederaan, penyerang gantian, Ramirez mencemaskan Portugal menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti yang mengenai pertahanan lawan, Bruno Alves. Eduardo bagaimanapun bertindak cemerlang melayangkan badan untuk menyelamatkan gawangnya dari dibocori. – Agensi




Konsep 1Malaysia kukuh perpaduan






RANCANGAN Malaysia Kesepuluh (RMK-10) menyediakan rangka kerja dasar dan strategi bagi mencapai status sebuah negara maju menjelang 2020.

Rancangan ini juga dilakar berkonsepkan 1Malaysia dan dibina berasaskan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi (MBE) yang menggariskan dasar dan strategi baharu.

Konsep 1Malaysia berhasrat untuk mengukuhkan perpaduan negara yang penting bagi mengekalkan kestabilan sosial dan politik; satu pra syarat untuk Malaysia kekal sebagai destinasi perniagaan dan pelaburan yang menarik.

Amalan menghormati perbezaan nilai pelbagai masyarakat akan membantu rakyat menghargai perbezaan tersebut sebagai aset.

Konsep ini mengharapkan rakyat Malaysia bergerak melangkaui toleransi untuk menerima dan akhirnya berbangga dengan kepelbagaian etnik, agama, budaya dan kepercayaan.

Prinsip keadilan akan menjadi teras kepada konsep ini.

Di bawah konsep ini, semua rakyat Malaysia akan diberi perhatian dengan tumpuan khusus kepada golongan kurang mendapat manfaat.

GTP diperkenalkan pada tahun 2010 untuk mentransformasikan kerajaan agar menjadi lebih efektif dalam sistem penyampaian perkhidmatannya serta bertanggungjawab ke atas pulangan.

MBE telah menggariskan Inisiatif Pembaharuan Strategik (IPS) dalam memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi yang mampan dan inklusif.

RMK-10 telah mengambil kira kebanyakan strategi baru pertumbuhan ekonomi di bawah MBE dan IPS yang berkaitan.

RMK-10 juga menggabungkan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan mengemas kini kemajuan pelaksanaan sistem penyampaian kerajaan sejak GTP dilancarkan.


RM100j bantu penduduk miskin




Najib Tun Razak menyerahkan buku pelaburan kepada Hassan Sha'ari, diperhatikan Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Koh Tsu Koon pada pelancaran Program Amanah Saham Wawasan 2020 bagi golongan miskin tegar dan miskin bandar di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR 24 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Program Amanah Saham Wawasan 2020-Bandar (ASW-2020-Bandar) dengan peruntukan RM100 juta untuk membantu menjana pendapatan tambahan kepada keluarga miskin tegar dan miskin bandar.

Sempena pelancarannya, 4,976 daripada 8,439 ketua keluarga dari golongan miskin tegar dan miskin bandar menerima bantuan melalui pelaksanaan daftar e-Kasih fasa pertama dan kedua yang dikelolakan Jabatan Perdana Menteri.

Menerusi ASW-2020-Bandar, pendapatan golongan tersebut akan ditambah menerusi pemberian dividen tahunan dan faedah lain hasil pelaburan berkenaan.

Program itu juga akan menyaksikan setiap ketua isi rumah – tanpa mengira kaum – yang layak serta berdaftar dengan program e-Kasih, akan diberikan wang prinsipal pelaburan RM10,000 yang akan tetap menjadi hak milik kerajaan.

Dalam ucapan perasmiannya, Najib berkata, pemberian pelaburan sumbangan Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu diharap dapat menambah pendapatan golongan berkenaan yang memerlukan bantuan kerajaan.

“Skim saham ini berbeza dengan skim lain yang mana mereka menerima dividen dan lain-lain pulangan pada tiap-tiap tahun sepanjang hayat mereka.

“Bagaimanapun sekiranya pemegang amanah itu meninggal dunia, maka unit itu akan disampaikan kepada orang lain yang memerlukan,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan di Taman Tasik Titiwangsa di sini.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Pada majlis itu, 196 ketua keluarga di Wilayah Persekutuan menerima Buku Pelaburan ASW 2020-Bandar masing-masing.

Menerusi daftar e-Kasih, garis pendapatan miskin tegar ditetapkan buat mereka yang mempunyai pendapatan bulanan kurang RM430 di Semenanjung Malaysia; Sabah (RM540); Sarawak (RM520).

Golongan miskin pula adalah mereka yang mempunyai pendapatan tidak melebihi RM720 di Semenanjung Malaysia; Sabah (RM960) dan Sarawak (RM830).

Menurut Najib, para pemegang saham itu akan mula menikmati dividen tahunan serta pulangan sepanjang hayat mulai September ini berdasarkan kadar ditetapkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) kelak.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pemberian saham itu adalah seiring dengan hasrat kerajaan dalam mengurangkan jumlah golongan miskin tegar dan miskin bandar di kalangan masyarakat.

Melalui program sebegitu, katanya, kerajaan dijangka berupaya mengurangkan jumlah isi rumah miskin di seluruh negara daripada 5.7 peratus, kepada 2.8 peratus pada akhir 2010.

Jelasnya, pendaftaran e-Kasih kini menunjukkan golongan miskin tegar dalam negara menurun kepada 33,417 orang berbanding 50,931 sebelumnya.

Beliau menegaskan, kerajaan tidak mahu mengambil konsep negara kebajikan dalam usaha membantu golongan miskin kerana ingin melihat semua rakyat yang berkemampuan bekerja bagi menyara diri dan keluarga masing-masing.












AADK perkenal klinik pemulihan berkonsep terbuka di Puspen Sungai Besi




PUTRAJAYA: Sebagai pendekatan baru menangani gejala penyalahgunaan dadah, Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) memperkenalkan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) berkonsep terbuka yang diberi nama Klinik Pemulihan dan Prihatin 1Malaysia di Puspen Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata klinik itu berfungsi sebagai pusat perkhidmatan menyeluruh bagi masalah berkaitan dadah, termasuk pusat rujukan, khidmat nasihat dan program pemulihan.
"Ia bukan saja terbuka kepada penagih, pengguna atau penyalahgunaan dadah semata-mata tetapi juga memberikan perkhidmatan kepada semua pelanggan AADK, termasuk keluarga, majikan dan individu yang ada kaitan langsung dengan individu penagih," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Hishammuddin berkata, jika sebelum ini penagih hanya dimasukkan ke Puspen melalui tangkapan dan keputusan mahkamah, kini dengan pembukaan klinik tersebut, individu yang mempunyai masalah ketagihan dadah atau ubat-ubatan boleh tampil secara sukarela untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan.

Beliau berkata, pada masa sama, ahli keluarga atau rakan kepada individu yang mempunyai masalah berkenaan juga boleh membawa individu berkenaan ke klinik itu untuk mendapatkan khidmat nasihat dan pemulihan secara sukarela.

“Konsep itu, turut memberi peluang kepada mana-mana kakitangan awam dan swasta mendapatkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan tanpa berhadapan sebarang implikasi perlucutan jawatan atau dibuang kerja pada masa depan,” katanya.

Tanpa mengenakan sebarang bayaran, Hishammuddin berkata, empat jenis perkhidmatan yang ditawarkan ialah rawatan dan pemulihan dadah secara residensi, secara pesakit luar, secara singgah-masuk dan secara rujukan dan advokasi.
Beliau berkata, klinik itu juga tidak hanya tertumpu terhadap rawatan dan pemulihan, tetapi turut memberikan perkhidmatan khidmat singkat kepada pelanggan, di mana ia adalah intervensi awal yang membabitkan aduan pelanggan, termasuk pelanggan yang tidak pasti sama ada mereka penagih dadah atau pengguna dadah.

Melalui klinik itu, katanya, AADK akan bekerjasama dengan lebih tersusun dengan penyedia perkhidmatan lain seperti Kementerian Kesihatan, Jabatan Psikiatrik Hospital Kuala Lumpur, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan badan bukan kerajaan (NGO) serta bekas-bekas penagih dadah yang berjaya dan pulih sepenuhnya yang mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan, psikiatri, perundangan, latihan kemahiran dan agama.

Hishammuddin berkata, bagi membolehkan operasi tersebut dijalankan di bangunan Puspen sedia ada di Sungai Besi, beberapa bangunan diubah suai untuk menyediakan kemudahan Pejabat Pesakit Luar (Pejabat Pendaftaran), Pejabat Temuduga/Penilaian, Klinik dan Bilik Pakar Perubatan, dan Wad Detoksifikasi.

Beliau berkata, seramai 104 pegawai dan kakitangan ditugaskan di klinik tersebut, yang terdiri daripada 39 pegawai operasi, 51 kakitangan keselamatan dan 14 kakitangan pentadbiran. Ia tidak termasuk empat pekerja sambilan di mana dua daripadanya adalah pembimbing rakan sebaya.

Klinik tersebut bertempat di Persada Sungai Besi, Batu 7, Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur dan lokasinya adalah berhampiran dengan Terminal Pengangkutan Bersepadu Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. - Bernama



Bermain jaga maruah Brazil: Lucio


DURBAN: Maruah menjadi ukuran apabila dua kuasa besar bola sepak, Portugal dan Brazil bertembung pada perlawanan penentuan untuk mengesahkan siapa bakal muncul juara Kumpulan G, hari ini.

Walaupun pemenang mungkin bertemu Sepanyol pada pusingan kalah mati, spekulasi kononnya salah sebuah pasukan akan cuba melakukan sesuatu untuk mengelak juara Eropah itu, diketepikan sama sekali.
Dalam bola sepak Brazil, tugas kami adalah untuk menang setiap perlawanan, kata pemain pertahanan, Lucio. Kami bermain untuk maruah jersi Brazil dan rakyat Brazil. Kami tidak memilih siapa lawan kami.
Jurulatih Brazil, Dunga tidak gemar mengubah skuad utamanya, tetapi terpaksa menggantikan Kaka yang dilayangkan kad merah ketika mencatat kemenangan 3-1 ke atas Ivory Coast, Ahad lalu. Julio Baptista atau Dani Alves dijangka turun mengisi jentera perancang.

Tidak seperti Brazil yang mengumpul dua kemenangan, Portugal masih mampu digugat Ivory Coast dalam perebutan tempat ke pusingan kedua walaupun menang 7-0 ke atas Korea Utara, Isnin lalu.

Sebarang andaian Portugal akan bermain untuk mencari keputusan seri bagi memastikan layak, akan dihantui memori kekalahan 6-2 kepada juara dunia lima kali itu ketika kali terakhir bertemu dalam satu perlawanan persahabatan pada 2008.

Ia kekalahan besar buat kami dan sekarang kami berpeluang mengalahkan mereka, kata perancang utama Portugal, Tiago. Ini bukan membalas dendam, tetapi hanya satu perlawanan. - Reuters




Bantah lesen judi bola


Pemuda, Puteri UMNO desak batal syor benarkan pertaruhan

TAWAU: Dua sayap UMNO – Pergerakan Pemuda dan Puteri – serta beberapa badan perhubungan UMNO negeri, semalam membantah cadangan supaya kerajaan mengeluarkan lesen judi pertaruhan bola sepak di negara ini.

Pengeluaran lesen itu menurut mereka hanya akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada masyarakat serta tidak menjamin aktiviti bookie haram dapat dihapuskan.
Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, berkata berdasarkan pandangan akar umbi dan menyaksikan usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras gejala judi itu, pergerakan itu berpendirian kerajaan tidak seharusnya mengeluarkan lesen berkenaan.
“Selepas hampir beberapa minggu kita meminta pandangan ahli akar umbi dan melihat usaha PDRM membanteras gejala judi melalui penguatkuasaan dalam tempoh seminggu ini, kita membantah jika kerajaan mahu mengeluarkan lesen judi pertaruhan perlawanan bola ini.

“Kita berharap apa yang kita dengar menerusi berita kenyataan pihak swasta bahawa kerajaan sudah bersetuju (mengeluarkan lesen), adalah tidak benar. Kita berharap kerajaan tidak mengeluarkan lesen berkenaan,” katanya.

Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Tawau, yang turut dihadiri Ketua Umno Bahagian Tawau, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan di sini, semalam.

Selain itu, Khairy berkata, MCA dan MIC juga mengakui judi bukanlah perkara yang disokong masyarakat Cina dan India di negara ini dan mereka tidak menganggapnya sebagai satu budaya.
"Rakan-rakan dalam MCA dan MIC juga berpendapat mengapa kita menggalakkan perkara ini (judi) dengan mengesahkannya menerusi pemberian lesen. Daripada pandangan mana-mana budaya atau kaum di Malaysia, mereka tidak setuju, lebih-lebih lagi yang beragama Islam,” katanya.

Isu lesen judi pertaruhan bola sepak ini timbul apabila Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin menyatakan ada cadangan daripada kerajaan untuk meluluskan lesen judi sukan ketika berlangsungnya perlawanan bola sepak Piala Dunia.

Sementara itu, Ketua Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata pengeluaran lesen berkenaan tidak akan membantu membanteras sindiket judi pertaruhan bola sepak haram biarpun aktiviti berkenaan akan dilesenkan.

“Ini disebabkan asal judi itu sendiri sama ada untuk bola sepak atau perkara lain adalah sama sekali tidak dibenarkan oleh mana-mana agama, sama seperti arak dan zina.

“Langkah mengeluarkan lesen pertaruhan judi bola sepak sama sekali tidak diperlukan untuk membendung kegiatan itu,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau turut meminta kerajaan memberi penerangan lebih jelas mengenai isu itu supaya rakyat dapat mengetahui status sebenar.

Selain itu, beberapa Badan Perhubungan Umno negeri turut membantah cadangan kerajaan mengeluarkan lesen judi itu, selepas Badan Perhubungan Umno Perak menyatakan pandangan yang sama sebelum ini.

Di ALOR SETAR, Badan Perhubungan Umno Kedah sebulat suara mahu kerajaan tidak meluluskan lesen perjudian bola sepak berkenaan kerana dikhuatiri akan menimbulkan masalah sosial.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shafie Apdal yang turut dihadiri semua Ketua Umno Bahagian, Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri, baru-baru ini.

“Kita membincangkan dengan panjang lebar dan berpendapat pengeluaran lesen itu bukan saja akan memberi kesan kepada masyarakat bukan Melayu, malah orang Melayu dan beragama Islam yang akan terdorong untuk bertaruh,” katanya.

Di KUALA TERENGGANU, Badan Perhubungan UMNO Terengganu meminta kerajaan menghentikan terus rancangan mengeluarkan lesen judi itu bagi mengelakkan isu itu terus dipolitikkan pihak tertentu sekali gus menjejaskan imej kerajaan Barisan Nasional (BN).

Setiausahanya, Datuk Tengku Putera Awang, berkata umum mengetahui niat sebenar kerajaan adalah baik untuk memastikan pengawalseliaan yang teratur bagi mereka yang bukan Islam, namun ia kini sudah terlalu dipolitikkan.

Sementara itu, di KUANTAN, Wanita dan Puteri UMNO Pahang menyatakan pendirian yang sama sejajar dengan perjuangan parti untuk menjaga kepentingan umat Islam dan dan memelihara kesucian agama Islam.

Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Rosni Zahari, berkata pergerakan itu berharap kerajaan boleh mendapatkan hasil pendapatan daripada sumber lain yang halal bagi tujuan pembangunan negara dan kepentingan rakyat.

Di GEORGETOWN, Pergerakan Wanita Umno Pulau Pinang juga menyifatkan pengeluaran lesen berkenaan akan mencalarkan imej Malaysia sebagai negara Islam.
Admax Supports Eco-Living . Click here for 10 easy things you can do today to go green!