ßÍšŋęş Õńļĭńê Ěâŝŷ ©










HI

Jumaat, 25 Jun 2010

AADK perkenal klinik pemulihan berkonsep terbuka di Puspen Sungai Besi




PUTRAJAYA: Sebagai pendekatan baru menangani gejala penyalahgunaan dadah, Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) memperkenalkan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) berkonsep terbuka yang diberi nama Klinik Pemulihan dan Prihatin 1Malaysia di Puspen Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata klinik itu berfungsi sebagai pusat perkhidmatan menyeluruh bagi masalah berkaitan dadah, termasuk pusat rujukan, khidmat nasihat dan program pemulihan.
"Ia bukan saja terbuka kepada penagih, pengguna atau penyalahgunaan dadah semata-mata tetapi juga memberikan perkhidmatan kepada semua pelanggan AADK, termasuk keluarga, majikan dan individu yang ada kaitan langsung dengan individu penagih," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Hishammuddin berkata, jika sebelum ini penagih hanya dimasukkan ke Puspen melalui tangkapan dan keputusan mahkamah, kini dengan pembukaan klinik tersebut, individu yang mempunyai masalah ketagihan dadah atau ubat-ubatan boleh tampil secara sukarela untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan.

Beliau berkata, pada masa sama, ahli keluarga atau rakan kepada individu yang mempunyai masalah berkenaan juga boleh membawa individu berkenaan ke klinik itu untuk mendapatkan khidmat nasihat dan pemulihan secara sukarela.

“Konsep itu, turut memberi peluang kepada mana-mana kakitangan awam dan swasta mendapatkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan tanpa berhadapan sebarang implikasi perlucutan jawatan atau dibuang kerja pada masa depan,” katanya.

Tanpa mengenakan sebarang bayaran, Hishammuddin berkata, empat jenis perkhidmatan yang ditawarkan ialah rawatan dan pemulihan dadah secara residensi, secara pesakit luar, secara singgah-masuk dan secara rujukan dan advokasi.
Beliau berkata, klinik itu juga tidak hanya tertumpu terhadap rawatan dan pemulihan, tetapi turut memberikan perkhidmatan khidmat singkat kepada pelanggan, di mana ia adalah intervensi awal yang membabitkan aduan pelanggan, termasuk pelanggan yang tidak pasti sama ada mereka penagih dadah atau pengguna dadah.

Melalui klinik itu, katanya, AADK akan bekerjasama dengan lebih tersusun dengan penyedia perkhidmatan lain seperti Kementerian Kesihatan, Jabatan Psikiatrik Hospital Kuala Lumpur, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan badan bukan kerajaan (NGO) serta bekas-bekas penagih dadah yang berjaya dan pulih sepenuhnya yang mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan, psikiatri, perundangan, latihan kemahiran dan agama.

Hishammuddin berkata, bagi membolehkan operasi tersebut dijalankan di bangunan Puspen sedia ada di Sungai Besi, beberapa bangunan diubah suai untuk menyediakan kemudahan Pejabat Pesakit Luar (Pejabat Pendaftaran), Pejabat Temuduga/Penilaian, Klinik dan Bilik Pakar Perubatan, dan Wad Detoksifikasi.

Beliau berkata, seramai 104 pegawai dan kakitangan ditugaskan di klinik tersebut, yang terdiri daripada 39 pegawai operasi, 51 kakitangan keselamatan dan 14 kakitangan pentadbiran. Ia tidak termasuk empat pekerja sambilan di mana dua daripadanya adalah pembimbing rakan sebaya.

Klinik tersebut bertempat di Persada Sungai Besi, Batu 7, Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur dan lokasinya adalah berhampiran dengan Terminal Pengangkutan Bersepadu Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. - Bernama



Tiada ulasan:

Catat Ulasan