ßÍšŋęş Õńļĭńê Ěâŝŷ ©










HI

Jumaat, 25 Jun 2010

Portugal iringi Brazil




Durban – Portugal menduduki tangga kedua Kumpulan G untuk mengiringi Brazil pada pusingan kedua Piala Dunia 2010 setelah berjaya mengikat juara lima kali itu 0-0 yang turun tanpa tiga tonggak utama di Stadium Moses Mabhida, semalam.

Tanpa tiga tonggak utama – Robinho (direhatkan), Elano (cedera) dan Kaka (penggantungan kad merah) – serangan-serangan Brazil tampak kurang berbisa meskipun mengawal permainan.

Ketumpulan itu bagaimanapun tidak bermakna Portugal tidak perlu bekerja keras dan ia diakui jurulatihnya, Carlos Queiroz yang memuji disiplin ditunjukkan pemainnya untuk mengikat Brazil.

“Ia adalah perlawanan yang sukar. Mereka bermula dengan gagah sehingga kami terpaksa mengeluarkan segala-galanya. Namun, saya fikir kami menamatkan perlawanan dengan baik.

“Anak buah saya menunjukkan sikap yang cukup baik. Mereka amat bagus memainkan peranan masing-masing dan cara bagaimana mereka melawan.

“Kami sampai ke pusingan seterusnya berdasarkan merit. Kini kami perlu memikirkan bentuk perlawanan seterusnya yang memberi ganjaran kepada pemenang dan membawa kekecewaan kepada yang kalah,” katanya.

Babak pertama perlawanan menyaksikan Brazil lebih menguasai bola dengan mengamalkan pendekatan menyerang sementara Portugal lebih banyak mengharapkan serangan balas.

Minit ke-30, Nilmar hampir menceriakan kem Brazil apabila berjaya menewaskan penjaga gol Portugal, Eduardo menerusi tolakan cantik. Namun, bola sekadar singah di palang sebelum diselamatkan oleh pertahanan Portugal.

Kegarangan Brazil berterusan selepas itu menerusi tandukan Luis Fabiano dari jarak dekat setelah menerima hantaran lambung dari pertahanan kental, Maicon. Sayangnya ia hanya tersasar beberapa inci di sebelah kanan tiang gol lawan untuk gol pembukaan perlawanan.

Babak kedua perlawanan, Portugal seakan mula bangun dari lena menerusi gerakan menarik yang diatur.

Bintangnya, Cristiano Ronaldo beberapa kali membuat larian cantik melepasi pertahanan Brazil namun semuanya tidak mendatangkan hasil termasuk sepakan percumanya yang menepati sasaran sebelum tertampan rakan sepasukan, Pepe lalu meliar pada minit ke-52.

Tonggak pertahanan yang juga kapten Brazil, Lucio nyata tertekan dengan gerakan-gerakan diatur Ronaldo.

Kesilapannya ketika mengawal pemain lincah itu hampir membawa padah pada minit ke-59 apabila tertolak bola dalam kawalan Ronaldo kepada pemain tengah lawan, Raul Meireles. Mujur penjaga gol, Julio Cesar bertindak pantas menutup ruang bagi mengelak gawang Brazil bergegar.

Pada waktu kecederaan, penyerang gantian, Ramirez mencemaskan Portugal menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti yang mengenai pertahanan lawan, Bruno Alves. Eduardo bagaimanapun bertindak cemerlang melayangkan badan untuk menyelamatkan gawangnya dari dibocori. – Agensi




1 ulasan: