ßÍšŋęş Õńļĭńê Ěâŝŷ ©










HI

Rabu, 16 Jun 2010

Sindiket dadah tumpas lagi


Kamarudin A. Aziz menunjukkan rampasan wang tunai dan senjata api serta dadah selepas polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 16 Jun - Polis Johor menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif beroperasi di bandar raya ini dengan tertangkapnya empat lelaki termasuk dua warga asing dalam satu serbuan Isnin lalu.
Dalam kejadian pukul 2.20 petang itu, serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Mariamah, di sini menjumpai beberapa jenis dadah dipercayai bernilai RM166,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Kamarudin A. Aziz berkata, dadah yang dirampas terdiri daripada ganja seberat 3.8 kilogram (kg), syabu (574 gram), heroin (222 gram) dan 10 biji pil Eramin 5.
"Polis juga menjumpai sepucuk pistol tiruan jenis High Accuracy P.729 buatan China berserta satu kelopak peluru dan 39 kelongsong peluru kosong," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Selain itu, polis turut menyita harta milik kesemua suspek berusia antara 35 hingga 46 tahun seperti wang tunai RM65,500, lima kereta mewah bernilai RM320,000 dan lain-lain peralatan berjumlah RM2,000.
"Ujian air kencing ke atas keempat-empat suspek mendapati kesemuanya positif dadah jenis morfin. Malah salah seorang mereka mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah," katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, 12(2), 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.
Pada Khamis dan Jumaat lalu, polis Johor dengan kerjasama Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket memproses dan mengedar dadah dengan tertangkapnya 15 orang termasuk dua warga Myanmar dalam tujuh serbuan berasingan di beberapa lokasi berbeza di negeri ini.
Rampasan pelbagai jenis dadah dan hartanah termasuk kenderaan dianggarkan bernilai RM3.7 juta.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 37 tahun turut ditahan kerana disyaki pengedar dadah di sebuah bilik hotel di Jalan Dato Abdullah Tahir, di sini pukul 7.15 petang, 11 Jun lalu.
Suspek, seorang penganggur ditahan bersama 64 biji pil ecstasy, 1.92 gram ketamin, enam biji pil Eramin 5, 3.22 gram heroin dan 15.49 gram syabu.
Kamarudin berkata, pihaknya merampas sepucuk pistol tiruan jenis YT 38 buatan China berserta satu kelopak tanpa peluru.
"Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu dipercayai bergiat aktif mengedar dadah di sekitar Johor Bahru," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, 12(2), 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan